Posts

#10 KUCING

Image
  Kucing merupakan salah satu haiwan yang saya rasa agak menarik untuk dibincangkan. Dahulunya, saya mempunyai banyak kucing yang menjadi haiwan peliharaan. Seperti sifat haiwan pada umumnya, kucing tidak mempunyai kemampuan untuk bercakap, akan tetapi kehadiran kucing di dalam hidup membawa keceriaan dan kebahagiaan. Mempunyai buluh yang tebal dan pelbagai corak membuatkan kita suka untuk memandang dan geram untuk membelai mereka. Walaupun begitu, penjagaan kucing yang memakan kos agak besar juga tidak menjadi masalah kepada mereka yang sangat suka akan kucing. Pengorbanan dalam memberi makan, membawa mereka ke klinik dan membina rumah yang selesa untuk mereka menjalani kehidupan merupakan salah satu pengorbanan yang sangat saya sanjungi. 

#9 GUNUNG KINABALU

Image
 Hampir setiap tahun, setiap kali cuti sekolah kami sekeluarga akan pergi ke Kundasang untuk menikmati cuti. Keindahan Gunung Kinabalu yang tak tertandingi membawa seribu satu hikmah. Salah satu ciptaan Tuhan yang membawa rahmat yang melimpah kepada seluruh rakyat Sabah. Menjadi pusat pelancongan telah memberi banyak peluang pekerjaan kepada penduduk di Kundasang. Walaupun perjalanan yang perlu ditempuhi agak jauh, tetapi semua itu tidak dapat menandingi kenangan dan pengalaman yang dirasai semasa pertama kali melihat gahnya Gunung Kinabalu dan segala aktiviti dan perkara yang menarik dilakukan. Gunung Kinabalu yang ikonik dengan negeri Sabah menjadikan saya bangga menjadi rakyat negeri Sabah di bawah bayu.

#8 AIR TERJUN

Image
 Aktiviti mendaki bukit dan gunung merupakan salah satu aktiviti yang saya sangat gemari. Walaupun aktiviti ini lasak dan mencabar tetapi hasilnya sangat sepadan dan indah. Saya suka akan melihat gambar ini kerana ia membawa sesuatu perasaan dan makna apabila saya cuba mengingat kembali. Tenang. Indah. Sejuk. Damai. Itulah perasaan yang sangat saya inginkan rasai. Mengulangi dengan melakukan perkara yang sama tidak serupa dengan apa yang kita rasakan ketika menjalaninya buat pertama kali. Seperti merindukan sesuatu yang telah pergi.

#7 DUNIA SENJA

Image
 Mengimbau kembali semasa saya bersama sahabat saya pergi memancing pada waktu senja. Dengan peralatan pancing dan umpan yang seadanya, kami meneruskan niat untuk tidak pulang dengan tangan kosong. Detik demi detik, minit demi minit dan jam demi jam, kami terus menunggu dan berharap untuk mendapatkan seekor ikan dengan kesabaran setinggi gunung. Namun, kesabaran tersebut tetap ada hadnya bagi setiap individu. Persoalan pun timbul dalam fikiran adakah orang yang bersabar pasti akan mendapatkan sesuatu perkara yang diusahakan? Dan adakah kesabaran seseorang itu layak diuji dan dipermainkan?

#6 BANDAR

Image
 Cahaya lampu gemerlapan menerangi di seluruh pelusuk bandar bak cahaya bulan dan bintang yang menyuluh bumi di malam hari. Cahaya terang itu menjadi saksi bahawasanya bandar yang maju tidak pernah tidur dan sentiasa ada yang bergerak, bekerja dan berjalan demi merealisasikan sebuah impian. Impian yang ghairah akan kemajuan dan perkembangan yang pesat dari segi teknologi, ketamadunan dan pemikiran. Akan tetapi, kemajuan yang dikecapi pada hari ini dikejar dengan jalan yang batil. Apakah sebenarnya maksud disebalik kemajuan yang didambakan oleh seseorang yang sanggup melakukan apa sahaja tidak kira benar dan salah?

#5 JAMBATAN

Image
  Berbumbungkan langit yang menghampiri senja, dihiasi dengan anak bulan Ramadan, sedang menunggu tibanya azan Maghrib menyapa dengan merdu kepada setiap hamba yang berpuasa. Terbentang satu jambatan tua, tetapi masih berdiri kukuh. Jambatan yang identik di kawasan ku ini menyimpan segala sejarah dan kenangan bagi masyarakat. Jambatan yang menjadi laluan pengangkutan dan memudahkan segala pekerjaan. Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian, orang-orang terdahulu bersusah payah dalam menyiapkan jambatan, namun memberikan rahmat kepada seluruh masyarakat di sini apabila sudah siap terbina. Setiap kejayaan yang dikecapi pasti memerlukan pengorbanan yang besar. Akan tetapi, segelintir manusia hanya melihat akan hasil bukannya proses yang dilalui setengah mati. Sangat menyedihkan apabila sudah berusaha sebaik mungkin sehingga mencapai batas, tapi usaha tersebut dianggap remeh bahkan tidak anggap. Harus bagaimana lagi usaha itu perlu diusahakan? Yah, mungkin sahaja impian itu sud...

#4 LANGIT

Image
  Sememangnya agak tidak logik untuk difikirkan semula bahawa saat ini menjadi anak perantau. Kembali ke masa dahulu ketika saya berada di tingkatan 5 dan meneruskan STPM, tidak pernah sekali pun terdetik di minda untuk merantau dan menyambung pengajian di universiti. Tapi begitulah takdir yang berubah seperti cuaca di langit, memandang ke luar jendela dari kapal terbang memberikan pemandangan yang tidak ternilai. Segala pengorbanan yang dicurahkan, dibayar dengan pengalaman yang berbeza. Jauh perjalanan, luas pemandangan. Berjumpa dengan orang baharu dan terasing dengan orang yang biasa dikenali sering kali membuat rasa kekok dan tidak selesa. Begitulah cara kehidupan membuka mata yang selalu terkurung di bawah tempurung, takut melihat dan merasakan perkara berbeza dan baharu. Takut akan perubahan dan kemajuan.